+607-558 4286 isijb@utm.my
Kuala Lumpur, 24 April 2025 – Universiti Teknologi Malaysia melalui Institut Sultan Iskandar (UTM-ISI) dan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), dengan kerjasama Komuniti Kebun Bandar Sungai Bunus (KBSB), telah berjaya menganjurkan program ‘Gotong-Royong @KBSB’ pada Khamis 24 April 2025 bertempat di Kebun Bandar Sungai Bunus, Kuala Lumpur.
Program yang bermula pada jam 8.30 pagi ini menghimpunkan warga UTM Kuala Lumpur dan komuniti KBSB yang berganding bahu menyumbang tenaga dalam menceriakan serta membersihkan kawasan kebun sebagai usaha bersama memelihara alam sekitar bandar.
Antara pengisian utama program termasuklah sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanas badan serta gotong-royong pembersihan kawasan kebun, yang bukan sahaja memperindah ruang hijau bandar, malah mengukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Inisiatif ini turut menyokong usaha UTM ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), khususnya dalam aspek komuniti lestari (SDG 11), kesihatan dan kesejahteraan (SDG 3), serta tindakan terhadap perubahan iklim (SDG 13).
Sebagai tanda penghargaan, para peserta turut menerima Sijil Kesukarelawanan atas penglibatan aktif dan komitmen mereka dalam menyokong kelestarian bandar dan pemerkasaan komuniti.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti melalui inisiatif tanggungjawab sosial, seiring dengan aspirasi UTM untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang mampan, inklusif dan mesra masyarakat.