Kuala Lumpur, 29 Mei 2025 – Seramai 25 jurutera daripada Ranhill Worley telah menyertai program “Route to Become a Professional Engineer via NEW Outcome-based Professional Assessment Examination (PAE)” yang berlangsung di Dewan Banquet, Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur (UTMKL) hari ini.
Program ini dikendalikan oleh tokoh kejuruteraan terkenal, Professor Emeritus Ir. Dr. K. S. Kannan, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penilaian Profesional (PAE) Lembaga Jurutera Malaysia (BEM). Beliau berkongsi pengetahuan mendalam mengenai struktur dan kaedah baharu penilaian profesional kejuruteraan yang kini berasaskan kompetensi dan hasil (Outcome-Based Assessment), selari dengan amalan terbaik antarabangsa.
Sepanjang sesi yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang, peserta diberikan pendedahan menyeluruh tentang keperluan pendaftaran Jurutera Siswazah dengan BEM, syarat latihan dan pengalaman, struktur dan kandungan laporan latihan & pengalaman, proses dan garis panduan temu duga PAE, kod Etika dan Profesionalisme dan pendaftaran melalui sistem MyBEM.
Program ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman peserta terhadap proses menjadi Jurutera Profesional (Ir.), tetapi turut memberi bimbingan praktikal dalam menyediakan dokumentasi dan menghadapi temu duga yang menjadi elemen penting dalam PAE.