+607-558 4286 isijb@utm.my

Pembentangan cadangan Projek Oleh WWF Malaysia & ISI UTM kepada MBSA

Shah Alam, 6 Februari 2024- Pihak Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (ISI-UTM) bersama rakan strategik, WWF Malaysia, telah mengadakan pembentangan projek cadangan di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.

ISI-UTM telah diwakili oleh Timbalan Pengarah Eksekutif II, Dr Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani, Cik Nurul Syasya Najwa bersama Encik Phubalan selaku wakil WWF Malaysia. Dr Jamilia Mohd Marsin, Ketua Unit Kemampanan ISI UTM, turut hadir ke sesi pembentangan ini secara maya.

Pihak ISI-UTM dan WWF Malaysia telah membentangkan Kertas Kerja Cadangan Program Kempen Bebas Plastik, yang bertujuan untuk memupuk kesedaran peserta dalam kalangan peniaga di pasar awam mengenai keburukan penggunaan plastik sekali guna dalam jangka panjang.

Program yang dicadangkan ini akan menjadi titik pemulaan kepada kempen yang menyasarkan pengurangan penggunaan beg plastik sekali guna di pasar awam yang akan dipilih kemudian.
Program ini juga bertujuan untuk menganjak pemikiran peniaga untuk lebih bertanggungjawab dan tidak hanya bergantung kepada penggunaan plastik sekali guna semata – mata.

Cadangan ini telah disambut baik oleh wakil MBSA dan mereka bersetuju untuk bersama – sama merealisasikan program ini di Shah Alam, Selangor.

Pihak ISI-UTM dan WWF Malaysia percaya bahawa perubahan dari peringkat komuniti kearah kelestarian alam sekitar perlu dilakukan secara kerjasama, bersistematik dan berkala.

ISI-UTM sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dari mana-mana organisasi yang dapat menambah nilai positif kepada alam sekitar, sosial dan juga ekonomi negara secara amnya.